Pages

Tuesday, November 10, 2015

Tolonglah, Kenapa Mudah Salah Sangka?


Tolonglah, Kenapa Mudah Salah Sangka?

Ada sahabat menangis di bahu saya. Katanya dia sedih orang menuduh dia bukan-bukan dan meminta kawan-kawan lain berhati-hati dengan dirinya. Kata mereka, dia nampak baik di depan dan hati busuk di dalam. Beristigfar saya. Bila saya dengar ceritanya dan memusat kepada apa tuduhan diberikan, hati saya terus berbisik, mudahnya berburuk sangka. Banyaknya bermulut jahat.

 

Kenapa saya kata begitu?  Sebabnya tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar kerana saya ada dalam peristiwa tuduhan itu. Ia berkaitan dengan timbangan daging korban yang dikatakan kurang dari jumlahnya. 

 

Otak saya penat berfikir. Kerana pada hari kejadian, kawan saya langsung tidak memegang timbangan sebaliknya dia sibuk dengan urusan lain. Ada saksi tentang kejadian ini. Ramai mata-mata menyaksikannya selain saya. Kalau dihitung lebih puluhan orang. Bahkan dia juga ada mengambil beberapa bungkus daging untuk diagihkan kepada komuniti dan ibu tunggal dikenalinya kerana sikap prihatin dan pemurahnya.

 

Alih-alih selepas beberapa bulan, timbul berita begini dan menuduhnya pula adalah orang jauh dan bukan dari komuniti tersebut! Heran dan ajaib tapi saya juga tak rasa harus rasa hairan kerana inilah dunia akhir zaman. Akhir zaman di mana kalau tersilap, terjerumus ke dalam neraka jahanam. 

 

Namun satu persoalan timbul di benak saya. Kenapa kita mudah salah sangka kepada orang lain sedangkan kita tak berada dalam situasi itu? Cuba tengok bagaimana jiran bermasam muka hanya kerana salah faham? Cuba tengok pula  bagaimana suami isteri berkelahi hanya kerana salah faham.  Silap-silap boleh cerai berai jadinya. Cuba tengok bagaimana negara huru hara kalau salah faham ini berleluasa? Boleh musnah jadinya dan negara tidak aman. 

 

Semua masalah ini saya percaya terjadi berpunca dari seketul daging dinamakan HATI!

 

Nabi SAW bersabda maksudnya :

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

 

Hati  adalah perkara utama dalam diri manusia. Jika baik maka baiklah jadinya. Hati boleh diibaratkan sebagai raja. Boleh memberi arahan kepada sesiapa sahaja. Kalau berperang, boleh memberi arahan untuk henti  atau teruskan berperang. 

Kalau tengah sakit hati, macam-macam tuduhan dilemparkan tapi masalahnya adakah tuduhan itu betul? Adakah pernah diselidiki adakah berita yang sampai di telinga itu keluar dari lidah yang tidak bercabang? Tidak ada hati yang bersalah sangka pada orang lain? Tidak busuk dengan unsur-unsur yang selama ini menjadi iron negetif sekaligus menjadikan hati bertambah hitam?

 

Cuba bayangkan, kalau kita tersilap? Memang mudah meminta maaf tapi hati yang terluka adakah dapat disembuhkan? Itu kalau sempat meminta maaf kalau orang difitnah itu belum meninggal dunia lagi! Tapi bagaimana kalau orang itu sudah tiada? Pada siapa permohanan maaf hendak diajukan? Kalaulah kita tahu di alam akhirat kelak, setiap dosa dan fitnah yang kita lemparkan dan belum dimaafkan oleh orang yang kita lemparkan tuduhan, sudah pasti kita menyesal kerana setiap pahala kebaikan yang kita pernah buat akan menjadi hak orang yang kita fitnahkan! Akhirat nanti, kita tidak mengenal mak, ayah, adik beradik, anak beranak, suami dan sedara mara sebaliknya kita menjadi diri kita sendiri. Lidah yang dulunya jahat menyakiti hati orang lain juga kelu dan anggota lain akan menjadi saksi akan dosa dan fitnah kita lakukan.

 

Saya kasihan dengan sahabat saya ini!  Saya tahu tangisannya datang dari hati kecilnya. Saya sudah menasihatinya. Biarkan orang memfitnah kita. Satu jari dia tuding, empat jari lain sedang menembak tepat di mukanya! (tak percaya cuba tuding jari dan tengok berapa jari terarah ke muka kita).

 

Dia memang bermaharajalela sekarang dan boleh ketawa kerana dia tidak sedar Allah sedang membuka aib dirinya tanpa diri sedar. Ya, Allah sedang membuka aib dirinya, menggambarkan itulah dirinya tapi orang menabur fitnah ini menganggap, dia di pihak benar sekarang! Kasihan kalau kita begini! Moga Allah menjauhkan saya dengan orang-orang yang suka menabur fitnah dan mudah salah sangka ini. Kata orang lebih baik berkawan dengan kucing  dari berkawan dengan manusia yang ada hati jahat ini! Semoga rahmat Allah terus bersama sahabat saya ini. Sabar itu separuh dari iman dan iman inilah yang membezakan seseorang itu. Semua mak bapaknya Melayu  adalah orang Islam tapi Islam bagaimana? Adakah Islam keturunan atau Islam sebenar-benar Iman. 

 

Tepuk dada, tanya selera!

 

credit:mingguan wanita

No comments:

Post a Comment

jgn ckp dlm ati,taip trus...