Pages

Sunday, November 8, 2015

Kementerian Kesihatan tubuh jawatankuasa khas e-rokok





PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas e-rokok bagi menjawab segala isu berkaitan rokok elektronik atau vape.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut akan diketuai Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan jawatankuasa itu bagi memastikan usaha merangka kawalan terhadap vape, dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Kementerian Kesihatan, pada Khamis sudah memulakan operasi merampas cecair nikotin yang mengandungi nikotin.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya telah diarah untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat menjual cecair bernikotin yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape.

Katanya, kementerian mempunyai kuasa untuk merampas produk yang mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983.

Mengikut Akta, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C dan mereka yang mengilang, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen.
Semalam, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu garis panduan berhubung penjualan cecair berperisa untuk rokok elektronik(e-rokok) bagi mengelakkan pengusaha mengalami kerugian.

No comments:

Post a Comment

jgn ckp dlm ati,taip trus...